DUN bubar, Melaka bakal hadapi PRN

0
2
grafik

YANG di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa semalam.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata Proklamasi Pembubaran DUN akan diwartakan hari ini.

Beliau menjelaskan, susulan sidang media empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan semalam yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri itu telah mengutus surat kepada yang di-Pertua Negeri.

Katanya, ia bagi meminta perkenan untuk membubarkan DUN Melaka Yang Ke-14.

Sementara itu, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN), Ab Rauf berkata, ia terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukannya.

“Itu atas urusan SPR. Bukan urusan kita lagi dah. Kita sudah bubar (DUN), serah ke SPR untuk uruskan PRN, tarikh juga terserah kepada SPR,” katanya.

Beliau juga berkata SPR boleh mencadangkan kaedah prosedur operasi dtandard (SOP) untuk PRN dijalankan ketika pandemik Covid-19 dan terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskannya.

Ab Rauf juga berkata kerajaan negeri yang ada hari ini adalah kerajaan sementara sehinggalah PRN diadakan.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

Semalam, media melaporkan, teka-teki pergelutan politik di Melaka terjawab apabila empat ADUN yang disebut-sebut terlibat, telah mengumumkan penarikan sokongan mereka sebentar tadi.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Ini bermakna kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah tumbang kerana hilang sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here