‘2 lagi ADUN akan tarik sokongan’ – Idris Haron

0
2
grafik

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron memberi bayangan, terdapat dua lagi Adun akan mengambil langkah sama menyatakan hilang kepercayaan dengan kepimpinan Kerajaan Melaka.

Tanpa mendedahkan nama-nama ADUN berkenaan, beliau berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kita telah pun bersetuju mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan saya sebagai wakil empat ADUN yang menarik sokongan ini untuk bertemu Tun Mohd Ali.

“Pertemuan ini bagi menyampaikan hasrat dan pandangan bagaimana meneruskan kesinambungan penguusan dan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kita dapat membayangkan akan ada sejumlah dua ADUN lagi yang akan bersama kita, ini masih diperingkat perbincangan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di hari ini.

Dalam pada itu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, beliau melihat tindakannya bersama tiga lagi ADUN menyatakan hilang sokongan dan bekerjasama dengan PH sebagai suatu langkah harmoni.

“Saya melihat ini (langkah) harmoni dan role model kepada idea ‘Keluarga Malaysia’.

“Kami tidak rela kepincangan ini berterusan kerana mangsanya ialah rakyat Melaka sendiri,” katanya.

Semalam, Idris Haron bersama tiga lagi ADUN mengumumkan penarikan sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka.

Tiga yang lain adalah ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan (BN), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Situasi itu sekali gus menyaksikan kerajaan Melaka hilang majoriti, selepas hanya mempunyai bilangan 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here