Caprice dikejar ke hospital, disyaki alami serangan jantung

0
2

“SAYA ingatkan kena serangan jantung. Seluruh bahagian kanan badan saya rasa kebas,” demikian kata penyanyi penyanyi rap Caprice menceritakan.

Menerusi beberapa hantaran video di InstaStory hari ini, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 33, berkongsi kepada warganet ketika dirinya berdepan detik mencemaskan, hari ini.

Dia yang mengaku panik, terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan ibu negara dengan segera.

“Saya bangun tidur pagi ini dengan sakit dada teruk. Sakitnya berbeza daripada saya alami di Jordan dan di KL (Kuala Lumpur) sebelum ini.

“Saya panik dan terus menghubungi ambulan dan perasan saya tidak boleh bercakap dengan betul. Alhamdulillah, mereka (pasukan perubatan) datang tepat pada waktunya,” katanya.

Doktor yang merawatnya memberitahu itu adalah tanda awal penyakit kelenjar tiroid terlalu aktif yang menghasilkan terlalu banyak hormon dan membuatkan metabolisme tubuh meningkat.

“Selepas buat ujian darah dan beberapa imbasan, saya diberitahu ada tanda-tanda ‘hyperthyroid’,” kata Caprice.

Susulan itu, aktivis kemanusiaan itu berharap masalah kesihatan yang dihadapinya itu dapat diselesaikan dengan hanya mengambil ubat-ubatan tanpa perlu melalui pembedahan.

“Tak boleh lama di sini (hospital), itu yang pasti sebab saya banyak kerja nak buat. Patutlah selama ini saya susah nak tidur, selalu resah dan sesak nafas.

“Saya harap semua ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan janganlah sampai opsyen lain (rawatan Radioterapi dan pembedahan),” katanya sambil berkongsi tangkap layar informasi mengenai penyakitnya itu.

Untuk rekod, pada Ogos lalu, Caprice pernah dimasukkan ke salah sebuah pusat perubatan di Jordan gara-gara mengalami demam dan serangan panik selepas menerima suntikan dos kedua vaksin.

Pada April 2020, pengasas aplikasi pendidikan Classruum itu dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang akibat sakit dada dan sesak nafas.

Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami masalah asid perut berlebihan atau Refluks Gastroesofagus (Gerd). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here