KENYATAAN Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam Dewan Rakyat mengenai pembayaran RM1.1 juta susulan tuduhan gagal mengisytiharkan wang yang diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu, disifatkan sebagai tidak menghormati Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RNS Rayer sebelum Sidang Dewan Rakyat sesi petang bermula hari ini yang merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (2).
Menurut peraturan itu tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah sekira-kira pada pertimbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara.
“Pada Khamis lalu ketika Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah menjadi mangsa dan mengembalikan wang RM1.1 juta.
“Pada hemat saya ia tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Jabatan Peguam Negara tidak diwakili dalam Dewan Rakyat, begitu juga badan kehakiman.
“Yang Berhormat (YB) Pontian telah menggunakan Dewan yang mulia ini untuk membersihkan nama beliau dan ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Beliau meminta pandangan daripada Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mempengerusikan Dewan Rakyat pada sesi petang, hari ini dan meminta agar Ahmad menarik semula kenyataan yang dibuat serta meminta maaf kepada Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman.
Azalina kemudian mencadangkan supaya Rayer membuat usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung perkara itu.
“Kalau saya yang jadi Pengerusi ketika itu saya tidak akan benarkan perkara itu dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (2), saya tidak akan benarkan ‘sub judice’.
“Isu penarikan balik kenyataan itu pula saya cadangkan buat usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk buat pertimbangan,” katanya.
Menurutnya, beliau juga berpendapat Ahli Parlimen Pontian tidak perlu menjawab mengenai perkara dibangkitkan itu kerana berpandangan kes yang dinyatakannya sudah selesai selepas dia dibebas dan dilepaskan daripada pertubuhan.
“Jadi YB Pontian tidak perlulah menjawab kecuali kalau usul dimasukan oleh Speaker maka Pontian boleh jawab secara rasmi nanti,” katanya. – Malaysiapost

