KDN perlu nyatakan pendirian isu judi

0
2

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan tindakan meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 undi tidak mampu menghalang judi haram.

Justeru, beliau berkata, hujah yang mendakwa bahawa peningkatan cabutan khas itu mampu menghalang judi haram adalah hujah yang tidak betul dan meminta Kementerian Dalam Negeri untuk memperjelaskannya.

Ahmad Fadhli berkata, hujah itu juga tiada kaitan dari sudut keselamatan dan bidang kuasa.

Katanya, peningkatan cabutan judi memang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, namun meminta pandangan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jonathan Yasin, berhubung pendirian KDN berhubung isu itu.

“Setuju atau tidak, Timbalan Menteri bahawa hujah mengatakan peningkatan cabutan judi boleh menghalang operasi judi haram, sebenarnya hujah yang tidak betul,” katanya ketika mencelah sesi pertanyaan Cha Kee Chin (DAP-Rasah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan itu, Jonathan berkata, jawapannya tetap sama seperti ketika menjawab soalan Rasah, iaitu isu itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan.

“Bagaimanapun pendirian sama ada ia tiada kaitan dengan usaha mengurangkan kes perjudian haram tanpa lesen, saya berpandangan KDN perlu ada kajian lebih mendalam mengenainya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memerlukan kajian lebih terperinci untuk mengenal pasti punca peningkatan dan penurunan kadar operasi judi haram.

Sementara itu, Jonathan berkata, KDN akan mempertimbangkan cadangan untuk meminda Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 bagi mengekang jenayah judi haram, sama ada secara maya atau fizikal.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan kepada 22 kali setahun dan kebenaran itu diberikan kepada semua syarikat judi di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here