PERUNTUKAN besar sebanyak RM18 bilion bagi Program Subsidi Upah (PSU) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 telah berjaya menyelamatkan pekerjaan 2.9 juta orang.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, berkata program berkenaan juga mendapat maklum balas positif daripada pihak industri yang memohon kerajaan supaya memastikan peruntukan yang mencukupi dalam membela nasib pekerja.
“Peruntukan khas ini disalurkan kepada Perkeso secara berperingkat sejak PKP 1 hingga PKP 3.
“Program subsidi upah ini sangat popular dikalangan warga kerja dan pihak industri serta permintaan yang tinggi untuk kerajaan memastikan peruntukan yang cukup,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakya, hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanya apakah impak terhadap peruntukan dibawah Kumpulan Wang Covid-19 melalui Program Subsidi Upah yang menelan belanja RM18 bilion.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah, berkata insentif melalui PSU itu adalah sangat positif.
“Apabila orang tanya apakah legasi saya sebagai Menteri Sumber Manusia sepanjang pandemik Covid-19, saya dengan bangganya boleh mengumumkan telah menyelamatkan atau membela nasib warga pekerja seramai 2.9 juta dengan peruntukan RM18 bilion berkenaan.
“Selain itu, lebih 300,000 syarikat juga berjaya diselamatkan daripada gulung tikar dan kalau tiada peruntukan itu mungkin 2.9 juta orang akan kehilangan pekerjaan,” katanya. – Malaysiapost


Saya tidak bersetuju ia adalah legasi saravanan,dimana duit socso adalah duit kaum pekerja bukan duit beliau. Duit pekerja digunakan untuk menyelamatkan majikan dalam pada masa yang sama majikan masih banyak menindas kaum pekerja. Sebagai contoh isu NUBE dengan pihak HSBC Bank ,Saravanan tidak berjaya menyelesaikan isu tersebut dengan adil, sebaliknya diam membisu. Isu pekerja hotel,isu pekerja YTL,isu pekerja Zoo Negara semua gagal diselesaikan. Pengunaan dana Socso dilihat digunakan dengan cara yang rakus oleh setiap menteri didalam kementerian Sumber manusia, perbelanjaan dengan mengunakan dana Socso juga mempunyai syak wasangka yang tinggi. Saya sebagai pencarum di EPF dan Socso melihat tiada kelebihan dan melihat pencarum pula seperti di tipu dan diperbodohkan oleh menteri. Setiap perbelanjaan dana socso tidak telus dan ia lebih kepada kepentingan seseorang dan kartel sumber manusia di dalam Malaysia.