MARA salur RM70 juta pinjaman kepada usahawan automatif

0
2

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) telah menyalurkan pinjaman RM70 juta kepada 48 usahawan dalam bidang automotif di seluruh negara sejak 2013.

Ianya disahkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkata, pembiayaan itu disalur MARA menerusi program Integrated Smart Auto (MISA).

“Ekosistem lengkap MARA dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif dalam pelbagai peringkat hingga kepada penyediaan fasiliti keusahawanan antaranya merangkumi latihan, bantuan pembiayaan dan khidmat nasihat.

“Malah, skim pembiayaan khas bagi usahawan automotif melalui MISA juga disediakan khusus untuk usahawan mengembangkan perniagaan dan menaik taraf bengkel mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir menjelaskan, setiap usahawan boleh memohon pembiayaan maksimum RM1 juta mulai 2019 berbanding maksimum RM5 juta sebelum itu.

Katanya, beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang berkenaan.

“Antaranya, Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA Petronas (PIMP), program khas Auto Glass Expert (AGE) dan pelbagai program keusahawanan yang menyasarkan pengembangan perniagaan dalam industri automotif.

“Automotif antara bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan serta melahirkan usahawan berjaya. Kita juga memberi fokus kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran,” katanya.

Selain itu, Mahdzir berkata, MARA juga menyediakan pelbagai bantuan termasuk pembelian peralatan, modal pusingan, pengubahsuaian bengkel serta siri latihan peningkatan perniagaan.

Sementara itu, untuk menangani kemiskinan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin, Mahdzir berkata, KPLB akan melakukan integrasi bagi memastikan isu itu dapat ditangani secara berkesan.

Katanya, KPLB akan menganalisis data beberapa kategori kemiskinan daripada miskin tegar sehinggalah kategori miskin di kawasan luar bandar.

“Kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri bagi mewujudkan seorang penyelaras di setiap daerah agar isu kemiskinan dapat diatasi dengan lebih berkesan.

“Kita akan sediakan data kategori orang miskin ini daripada miskin tegar hingga peringkat tertentu.

“Contohnya, jika agensi lain sudah memberi kursus kemahiran kepada golongan miskin ini, kita akan pastikan perkara ini dapat dikoordinasi supaya KPLB dapat tawarkan kursus yang berbeza,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here