Idris nafi terlibat konspirasi jatuhkan kerajaan negeri

0
2

BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menafikan terbabit dalam konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan negeri.

Idris yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang berkata, beliau tidak faham kenapa ada pihak yang sengaja cuba mengaitkannya dengan konspirasi itu.

Katanya, beliau sememangnya tiada sebarang masalah dengan kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.

“No such thing (tiada perkara sebegitu). Saya tidak faham mengapa saya dikaitkan (dalam gerakan menjatuhkan kerajaan negeri), (namun) saya rasa mungkin ada gerakan seperti itu daripada pihak lain, tetapi yang pastinya bukan inisiatif saya,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan sebelum ini beliau antara yang akan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam gerakan itu, Idris tegas menafikan dakwaan itu.

“Tiada `lompatan’ dan (saya) tiada masalah dengan CM (Ketua Menteri),” kata Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau Melaka itu.

Dalam pada itu, dalam satu kenyataan kepada media, Idris berkata, sebilangan kecil Adun Umno tidak boleh mempengaruhi kumpulan yang lebih besar untuk menukar kerajaan negeri.

Jumaat lalu, media melaporkan keadaan politik Melaka dipercayai bergolak apabila empat Adun yang mendukung kerajaan negeri, didakwa bakal melompat ke parti pembangkang.

Idris telah dikaitkan dengan empat Adun kerajaan yang akan menyokong PH membentuk kerajaan negeri baharu bersama PH.

Malah, mereka turut didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong PH.

Bagaimanapun, Adun Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas) yang turut dikaitkan telah menafikan dakwaan itu dengan menegaskan tidak menerima sebarang tawaran daripada mana-mana parti pembangkang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dijangka membuat sidang media dalam tempoh terdekat berhubung perkembangan situasi politik di negeri itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here