Kedah terus ‘ligan’ JDT

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

JARINGAN Kipre Tchetche dan Hadin Azman memastikan Kedah melonjak ke tangga kedua Liga Super dengan menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, sebentar tadi.

Kemenangan ke-4 berturut-turut oleh pasukan yang dihimpit krisis pengurusan itu membantu mereka memintas Perak dengan mengumpul 13 mata, enam mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Felda United sebelum itu terlebih dahulu mengejutkan pasukan pelawat apabila mendahului menerusi jaringan Syahmi Zamri pada lewat separuh masa pertama.

Lang Merah bangkit pada separuh masa kedua menerusi Kipre Tchetche pada minit ke-48 sebelum bekas kapten Felda United memastikan Kedah mengutip tiga mata berharga menerusi gol pada minit ke-66.

Sementara itu di Kuantan, Pahang menundukkan PDRM 2-0 di Stadium Darul Makmur hasil jaringan Ivan Carlos dan Mohamad Faisal Abdul Halim.

Manakala dalam satu lagi aksi Liga Super di Lembah Klang, PJ City terikat 1-1 dengan Sabah.-Malaysiapost