Sinar ‘Noor’ di hujung terowong – Dr Noor Hisham

0
2
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua rakyat bersatu padu dari peringkat akar umbi sehingga ke kepimpinan tertinggi untuk bersama mengurangkan kes Covid-19 dan menyelamatkan negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tanpa kerjasama padu pelbagai pihak dan orang ramai usaha menangani wabak berkenaan tidak akan berjaya.

“Kejayaan akan terbukti jika kita bersatu hati dengan sinar cahaya ‘Noor’ di hujung terowong. Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi rakaman video yang memohon mereka yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 agar segera mendapatkannya.

“Kepada mereka yang masih tak nak terima vaksin, pesanan saya kepada mereka ialah Covid-19 ini adalah benar. Janganlah kita elakkan daripada mendapat vaksin kerana ia mungkin akan menyebabkan kematian dan jangkitan dalam keluarga kita.

“Jadi, sebelum kita dan keluarga kita dijangkiti dan berakhir dengan kematian adalah baik kita mengambil vaksin untuk langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam rakaman video berkenaan.

Dr Noor Hisham menegaskan vaksin yang telah diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat dan berkesan dan vaksinasi adalah antara langkah pencegahan yang diambil untuk mengelakkan jangkitan dan juga kematian.

“Yang masih belum menerima vaksin tampil ke depan untuk mendapatkan vaksin dengan seberapa segera

“Inilah nasihat kita kepada semua mereka yang masih belum menerima vaksin,” katanya.

Terdahulu dalam satu lagi hantaran, beliau berkongsikan data yang menunjukkan buat pertama kali sejak 12 minggu lalu, kes harian Covid-19 di Malaysia melaporkan jangkitan di bawah lima angka iaitu 9,066 kes hari ini.

Kali terakhir Malaysia melaporkan kes harian di bawah 10,000 ialah 8,574 kes yang dicatatkan pada 12 Julai lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here