MESKIPUN tewas 1-3 kepada Jepun sekali gus tersingkir di peringkat separuh akhir kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland malam tadi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tetap berbangga dengan aksi skuad negara.
Bagi Ahmad Faizal, pencapaian mara ke separuh akhir sudah cukup baik, apatah lagi skuad badminton negara yang rata-rata diwakili pemain muda, telah melepasi sasaran untuk layak ke suku akhir.
Beliau juga berharap persembahan baik dapat diteruskan pada kejohanan Piala Thomas dan Uber 2021 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 17 Oktober di Aarhus, Denmark.
“Melepasi sasaran adalah suatu pencapaian yang baik. Terus berjuang di Piala Thomas dan Uber. Saya Bangga dengan anda semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Dalam aksi malam tadi, Malaysia gagal mengulangi kecemerlangan menewaskan musuh tradisi Indonesia pada suku akhir kelmarin, seterusnya kemarau kemenangan selama 16 tahun berdepan Jepun berterusan.
Kali terakhir Malaysia mengatasi Jepun dalam Piala Sudirman ialah pada edisi 2005 di Beijing.
Malaysia cuma mampu mencuri satu mata menerusi Lee Zii Jia yang menewaskan pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota straight set 22-20, 21-19.
Beregu lelaki utama negara, yang juga pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dikejutkan pasangan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-15, 21-14 dalam tempoh 42 minit.
Turut tewas ialah S Kisona serta pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah. – Malaysiapost

