SERAMAI 15 pengguna jalan raya ditahan dalam operasi di hujung minggu yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara.
Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata pihaknya menjalankan tiga operasi utama iaitu Op Samseng Jalanan, Op Motosikal dan Op Pelbagai bermula 1 Oktober hingga awal pagi hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan JSPT Kuala Lumpur membabitkan empat pegawai dan 90 anggota di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Laut.

“Dalam operasi itu sebanyak 343 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 11 motosikal disita kerana kesalahan ubah suai ekzos.
“Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Kuching, awal pagi pula telah menagkap lima lelaki yang menunggang secara merbahaya, melakukan aksi ‘zig zag’, ‘roket’ dan ‘superman’ serta bersaing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia 16 hingga 21 tahun kemudian dibawah ke Balai Trafik, Jalan Bandar dan akan dituduh mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

“Dalam Op Pelbagai pula 10 lelaki berusia 27 hingga 69 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana dipercayai memandu dibawah pengaruh alkohol.
“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi hujung minggu bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan di Kuala Lumpur serta menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa patuhi undang-undang jalan raya,” katanya. – Malaysiapost

