Sesi sekolah bersemuka bermula di Kelantan, T’ganu dan Langkawi

0
2

MENTERI Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin pagi ini meninjau hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka di Terengganu.

Beliau berkata, selain Terengganu, pengoperasian sekolah hari ini juga membabitkan Kelantan serta Pulau Langkawi, Kedah yang berada di bawah kawasan gelembung pelancongan dengan pembukaan sekolah mengikut ketetapan Fasa Empat.

“Pagi ini saya ke SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, meninjau perjalanan hari pertama sesi persekolahan secara bersemuka. Saya kemudiannya ke SM Agama Marang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Radzi berkata, secara keseluruhan, pengoperasian pembukaan sekolah serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti saringan suhu badan dan memakai pelitup muka dipatuhi dengan baik.

Pada masa sama, katanya, aspek pengudaraan yang baik dalam bilik darjah juga dipatuhi, selain teratur dengan penjarakan fizikal.

“Kami yakin pentadbir sekolah dan guru sentiasa berusaha sehabis baik untuk memastikan sesi persekolahan secara bersemuka ini berjalan dengan lancar serta selamat.

“Sama-sama kita terus usahakan dan berdoa semoga urusan persekolahan anak-anak kita berlangsung dengan baik,” katanya.

Pembukaan sekolah hari ini melibatkan pelajar Tingkatan Enam semester 2 yang hadir tanpa penggiliran di Kelantan, Terengganu dan Langkawi; pelajar Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Kelantan dan Terengganu; pelajar kelas peperiksaan antarabangsa di Kelantan, Terengganu dan Langkawi.

Pelajar kelas peperiksaan awam di asrama penuh tanpa penggiliran di Terengganu, pelajar kelas peperiksaan awam sekolah harian secara penggiliran di Terengganu, serta pelajar lain di sekolah antarabangsa secara penggiliran di Terengganu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here