PERATUSAN terkini populasi dewasa di Malaysia yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19, setakat semalam adalah 87.2 peratus atau 20,418,495 individu.
Bagi populasi dewasa yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 94.3 peratus atau 22,070,545 individu.
Berdasarkan infografik dan data yang dikongsi di laman Facebook Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), hari ini jumlah kumulatif pemberian dos vaksin termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos adalah 44,145,505 dos.
Jumlah pemberian dos harian bagi semalam pula adalah sebanyak 211,517 dos membabitkan 89,695 dos satu daripada vaksin dua dos dan 121,822 dos lengkap.
Secara keseluruhan semua negeri mencatatkan peratusan populasi dewasa yang lengkap vaksinasi melebihi 70 peratus, kecuali Sabah hanya 61.3 peratus.
Lembah Klang membabitkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan peratusan tertinggi populasi dewasa lengkap vaksinasi iaitu 111.4 peratus, diikuti Labuan 98.7 peratus.
Negeri Sembilan pula mencatatkan 97.7 peratus, Perlis (91.8 peratus), Sarawak (89.6 peratus), Melaka (87.9 peratus), Terengganu (85.1 peratus), Pulau Pinang (84.9 peratus) dan Johor (82.5 peratus).
Sementara itu, Pahang merekodkan 76.3 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, diikuti Kedah (75.7 peratus), Perak (74 peratus), dan Kelantan (71.2 peratus). – Malaysiapost

