PETUGAS yang tular menerusi rakaman video memberi suntikan vaksin Covid-19 kosong untuk seorang remaja berusia 12 tahun di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) telah diberhentikan tugas serta-merta.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata arahan pemberhentian itu dibuat pihak Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd untuk mengendalikan program vaksinasi kepada remaja di PPV terbabit.
“Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) ingin merujuk kepada insiden seorang remaja 12 tahun disuntik picagari kosong oleh seorang petugas kesihatan (penyuntik) semasa mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya (PPVUM) pada 30 September lalu.
“CITF-A telah meneliti laporan yang diterima dan dimaklumkan bahawa Healthcare Organisation (HCO) yang dilantik di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd memberhentikan penyuntik berkenaan dari memberi vaksin di PPV UM dengan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.
Dr Noor Azmi berkata, kerajaan memandang serius insiden seperti itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan proses vaksinasi dilakukan dengan selamat dan sempurna.
“Keselamatan dan kesejahteraan penerima vaksin adalah keutamaan kami, semua pengamal perubatan akan terus dipantau untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A) berkata, bagi mengelak keraguan dalam proses vaksinasi itu, CITF-A membenarkan hanya seorang ibu, bapa atau penjaga menemani remaja sehingga ke stesen vaksinasi untuk melihat sendiri proses diberikan mulai esok.
“Setelah selesai proses vaksinasi, ibu atau bapa atau penjaga diminta menunggu di luar bagi memastikan kerusi yang disediakan di kawasan pemerhatian mencukupi untuk remaja yang telah divaksinasi duduk dan diawasi.
“Selepas tamat tempoh pemerhatian 15 hingga 30 minit, remaja akan dikembalikan kepada jagaan ibu atau bapa atau penjaga,” katanya.
Tambah beliau, proses suntikan vaksinasi terhadap remaja juga boleh dirakam oleh dewasa yang menemani.
Terdahulu, tular satu video berdurasi kira-kira seminit di mana seorang petugas kesihatan menunjukkan picagari berisi vaksin namun memberi suntikan picagari kosong kepada seorang remaja. – Malaysiapost

