GARA-gara mengalami alahan teruk sepanjang berada di rumah sendiri, pelakon Syatilla Melvin akhirnya ‘tewas’ dan terpaksa berpindah ke sebuah hotel.
Syatilla yang juga isteri kepada pelakon terkenal Shaheizy Sam kini sedang hamil anak ketiga mereka memberitahu sudah hampir dua minggu terpaksa melawan rasa mual dan loya namun akhirnya akur dan berpindah ke hotel tersebut.
Menerusi perkongsian di laman Instagram, dilihat Shaheizy sedang mengangkat sebuah kotak berisi televisyen berukuran 55 inci dan diikuti dengan dua orang anak mereka iaitu Syeriv Samheizy, 4, dan Sarima Samheizy, 2.
“Sanggup bawa sebuah televisyen besar dari rumah supaya tidak bosan. Kalau sudah bawa televisyen, maksudnya bukan duduk sekejap ya.
“Dua minggu berlawan dengan emosi dan diri sendiri untuk tidak keluar dari rumah. Lawan dengan alahan pelik tak boleh tengok rumah sendiri. Tewas akhirnya,” katanya dalam hantaran itu.
Berkongsi mengenai alahannya, usahawan kosmetik itu merasakan hidupnya seperti tidak berkualiti kerana kondisi badan yang lemah.
Katanya, kehamilan ketiga ini merupakan pengalaman pertama dia melalui alahan yang pelik sebegitu.
“Rasa hidup tiada kualiti duduk rumah tengok perabot, hendak buat semua benda tidak menjadi dan badan lemah-longlai.
“Demi Allah SWT, ini pertama kali saya ada alahan begini. Kehamilan sebelum ini tidak merasa langsung dan siap boleh pergi penggambaran hari-hari,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelakon itu berkata baginya kesihatan bayi adalah perkara nombor satu yang menjadi keutamaan ketika ini.
Malah, dia turut menitipkan kata-kata penghargaan buat suami tercinta kerana setia melayan setiap kerenah sepanjang tempoh kehamilan ketiga.
“Terima kasih suamiku yang sentiasa ada di mana-mana. Saya tidur di mana-mana pun dia ikut, ini barulah namanya kerjasama selama-lamanya! Sayang awak Shaheizy Sam,” katanya. – Malaysiapost

