Peguam Negara lebih berkuasa jika ‘kluster mahkamah’ dihalang ke Dewan Rakyat – Najib

0
2

CADANGAN menghalang Ahli Parlimen dari Dewan Rakyat atas alasan mereka sedang menghadapi kes mahkamah dilihat hanya akan menjadikan Peguam Negara lebih berkuasa berbanding Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan itu jika dilakukan akan meletakkan kuasa demokrasi dan juga siapa akhirnya menjadi Perdana Menteri di bawah tangan Peguam Negara.

Menurutnya, ini kerana kuasa untuk mendakwa, tidak mendakwa atau gugur kes adalah sepenuhnya di tangan Peguam Negara.

“Menang atau kalah kes, lain cerita. Dia nak dakwa 100 Ahli Parlimen pun bawah bidang kuasa dia.

“Dia akan menjadi lebih berkuasa berbanding Perdana Menteri dan Agong.

“Ini bahaya sebab pernah ada Peguam Negara yang mengaku secara umum bahawa dia adalah lantikan politik DAP dan tidak akan khianat Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib turut menyindir kenyataan dibuat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang juga menolak cadangan berkenaan.

“Tak pasti P Ramasamy akan keluarkan kenyataan seperti ini sekiranya Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng) dan dan Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) bukan juga dalam kluster mahkamah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here