KPM kaji tukar sesi sekolah bermula Mac – Radzi Jidin

2
2

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengkaji kesesuaian untuk menukar permulaan sesi persekolahan daripada Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun depan sebagai panduan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kajian itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai kelebihan dan maklum balas positif diterima daripada pemegang taruh, termasuk dapat mengelakkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada November dan Disember yang bertembung dengan musim tengkujuh.

“Permulaan sesi persekolahan pada Mac ada banyak kelebihan, jadi ia satu tindakan yang baik apabila kita lanjutkan sesi persekolahan (2021) sehingga awal tahun depan.

“Kini, kita sedang teliti apakah kita akan teruskan sesi persekolahan baharu pada Mac atau kembali seperti asal (bermula Januari untuk sesi persekolahan 2023 dan seterusnya),” katanya memetik laporan BH.

Mengulas lanjut kelebihan memulakan sesi persekolahan pada Mac, beliau berkata, bagi negeri di Pantai Timur yang terbabit dengan monsun, SPM dalam musim tengkujuh amat memenatkan dan mengundang tekanan bukan sahaja bagi guru, malah ibu bapa juga terkesan apabila peperiksaan terpaksa dilaksanakan ketika banjir.

“Apabila SPM 2020 kita laksanakan pada Februari lalu, maklum balas yang diterima jauh lebih baik kerana fokus mereka (calon) dapat ditumpukan sepenuhnya kepada peperiksaan.

“Mereka tak perlu fikir soal nak ambil bot (untuk ke sekolah sebab banjir) atau nak pindah ke pusat (peperiksaan) mana dan sebagainya. Justeru, kita sedang teliti permulaan sesi persekolahan pada Mac untuk diteruskan ke tahun-tahun berikutnya kerana ada banyak kelebihan,” katanya.

Selain itu, Radzi berkata, apabila SPM diadakan pada Februari atau Mac, tempoh menunggu untuk calon terbabit ke universiti juga akan lebih pendek berbanding sebelum ini.

“(Jika peperiksaan SPM Februari/Mac) Keputusan (SPM) akan keluar (umum) Mei atau Jun dan selepas itu terus masuk ke universiti. Maksudnya, tak perlu tunggu lama (untuk masuk universiti).

“Kalau dulu (peperiksaan SPM November/Disember), mereka (pelajar) terpaksa menunggu tujuh hingga lapan bulan sebelum masuk universiti dan ini sedikit menyulitkan,” katanya.

Baru-baru ini, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk 2021 dilanjutkan sehingga Februari tahun depan, manakala sesi persekolahan bagi 2022 akan bermula Mac. – Malaysiapost

2 COMMENTS

  1. Sebagai seorang murid Yang terjejas teruk dlm pandemic covid 19 ….saya nak Tanya X boleh ke nak batal spm untuk batch 04…kits X belajar form 4 sepenuhnya…tiba tiba trial Bulan depan Dahh…saya langsung X faham apa Yang saya belajar….saya seorang murid Dari kelas aliran SAINS(pure science)😭😭😭😭😭saya berasa sangat stress Dan hilang semangat Dalam pelajaran..bukan sahaja saya ramai kawan kawan saya juga berasa begituu..sebab pelajaran ssains tulen ITU bukan Yang sesuatu senang 😭😭 subject berat…selain ITU,saya kena covid Dan langsung X dapat fokus dlm pelajaran 1 Bulan lebihh….susah nak catch up…..saya harap pihak kpm Akan faham situasi saya Dan budak budak spm2021 batch 04 ,batal Kan spm Dan buat kerja kursus…Kita hilang semangat…lagi lahh buku teks Dan syllabus Baru susahh snagat…harap kpm Akan tolong Kita semua utk batalkan….spm ni menjadikan saya stress sebab X belajar 1 tahun lebih….terima kasihh…anak anak spm 2021 menunggu utk pengumuman kpm untuk batalkan spm batch 04

  2. Buat spm Dalam online open buku teks pun ok dah ok dah….Kita X belajar form 4 sepenuhnya….budak spm tahun Lepas atleast diaorang belajar form 4 sepenuhnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here