TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim hari ini menyantuni 49 penerima bantuan kebajikan daripada kalangan pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
PDRM dalam kenyataan memaklumkan, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Majlis serba ringkas yang berlangsung di Dewan Masjid Bukit Aman itu turut dihadiri Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail bersama Pegawai Kanan PDRM dan JAWI.
“Kesemua 49 penerima bantuan yang rata-ratanya menetap di sekitar Lembah Klang, menerima sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir, Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Polis (DCP) Ruslan Khalid, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan Bukit Aman, DCP Azmi Adam serta para pegawai kanan PDRM. – Malaysiapost

