BERSATU Putrajaya memaklumkan Datuk Seri Erwan Tahir bukan lagi Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya semasa beliau menyertai semula Umno, hari ini.
Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Ilashim berkata, pihaknya ingin memperbetulkan pernyataan berkenaan seperti mana yang disiarkan Facebook Umno Online hari ini.
“Bersatu Putrajaya ingin memperbetulkan pernyataan dan menyatakan bahawa Datuk Seri Erwan Tahir bukan lagi merupakan Ketua Bahagian Bersatu di Putrajaya semasa beliau menyertai semula Umno hari ini.
“Ini kerana beliau telah meletakkan jawatan selaku Ketua Bahagian dengan disaksikan oleh AJK Bahagian dan Ketua Ketua Cawangan yang hadir pada 10 Oktober 2020 setelah beliau tewas dalam pemilihan jawatan Naib Presiden yang dilandinginya pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fathul Azam berkata, sepanjang tempoh kekosongan jawatan tersebut beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian telah memangku sekali gus menyandang jawatan Ketua Bahagian Bersatu Putrajaya.
“Ingin dimaklumkan juga, Bersatu Putrajaya tidak terkesan dengan perletakan jawatan beliau, malah semakin mendapat sambutan keahlian dari warga putrajaya.
“Bersatu Putrajaya juga berjaya menubuhkan 9 cawangan baru dengan keahlian baru sebanyak 1030 ahli dan giat menyantuni penduduk Putrajaya dengan berbagai program dan bantuan.
“Bersatu Putrajaya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Seri Erwan Tahir,” katanya.
Terdahulu, Umno Putrajaya memaklumkan menerima permohonan Erwan dan 120 individu lain untuk menyertai parti itu, hari ini.
Permohonan borang kemasukan keahlian itu diserahkan kepada Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. – Malaysiapost

