Zahid kurang selesa cara KPM kendali guru enggan divaksin

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kurang selesa dengan tindakan yang mahu diambil Kementerian Pendidikan (KPM) ke atas warga pendidik yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, KPM seharusnya mengendalikan isu melibatkan kira-kira 2,000 guru yang masih enggan menerima suntikan vaksin tersebut dengan cermat dan bijaksana.

Beliau menambah, mengugut guru terbabit dipindahkan ke negeri lain menyusahkan kehidupan mereka serta keluarga dan ia pendekatan kurang berhemah dan autokratik.

“Saya percaya masih ada banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru terbabit supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Jangan cepat menilai guru terlibat daripada sudut Teori X. Kendali mereka pada kaca mata Teori Y. Ini “leadership” yang lebih harmoni.

“Jumlah 2,000 guru tidaklah terlalu banyak dan mungkin sudah semakin berkurangan ketika saya menulis ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata sepatutnya semua guru yang terlibat boleh diuruskan “case by case basis” oleh KPM, bukan melalui pendekatan pukul sama rata.

Katanya, ia sama seperti pendekatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu 779 guru di Johor menolak suntikan vaksin Covid-19 baru-baru.

“Guru ini perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui apakah punca sebenar mereka enggan divaksin.

“Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh tentang risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin tersebut?

“Jika benar begitu apa langkah terbaik untuk membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa,” katanya.

Katanya lagi, jika guru-guru terbabit tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka KPM perlu mendapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka.

“Andai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka tentang hal sebenar.

“Sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi tentang Covid-19 dan vaksinasi, dapatkan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi mereka.

“Sebarang bentuk ugutan akan hanya membuat rakyat marah kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here