‘Projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan untuk pulih ekonomi’ – Asyraf Wajdi

0
2

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa projek mega berimpak tinggi wajar diteruskan dan tidak menjejaskan kepentingan rakyat, sebaliknya dapat membantu mempercepatkan ekonomi pasca pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, selain daripada pelaburan swasta, pelaburan kerajaan seperti pembinaan projek mega termasuk dalam kategori pembentukan modal tetap kasar (PMTK).

Katanya, statistik menunjukkan PMTK negara pada tahun 2020 mengalami penguncupan sebanyak 14.5 peratus iaitu RM281.1 billion berbanding tahun sebelumnya.

“Ini merupakan penguncupan terbesar semenjak krisis kewangan tahun 1998 dulu. Faktor utama yang menyumbang kepada penguncupan PMTK adalah kelembapan ekonomi akibat pandemiK Covid-19.

“Pada tahun 2020, pelaburan Kerajaan mewakili 21.3% dari jumlah keseluruhan PMTK, menurun dari paras 25.1% berbanding tahun 2019. Pelaburan sektor swasta dijangka akan terus menguncup sekiranya kelembapan ekonomi berterusan.

“Dengan itu kerajaan disarankan melaksanakan tanggungjawapnya dengan meningkatkan pelaburan kerajaan menerusi pelaksanaan projek mega berimpak tinggi,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan lima rasional mengapa projek mega ini perlu dilaksanakan walaupun kini negara dalam situasi kelembapan ekonomi.

“Pertama, pemangkin pertumbuhan enonomi, iaitu melibatkan pertumbuhan PMTK yang meningkatkan keupayaan produktif negara pada masa akan datang.

“Potensi pertumbuhan ekonomi negara sangat bergantung kepada pelaburan yang dibuat ketika ini bagi meningkatkan keupayaan produktif yang boleh digunakan untuk membantu pengeluaran produk dan perkhidmatan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, mewujudkan peluang pekerjaan berproduktiviti tinggi, iaitu seperti projek pembinaan transportasi awam berbasis rel elektrik.

“Ia akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan berproduktiviti tinggi. Ini jelas terbukti ketika Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan pembinaan projek MRT1 dan ECRL sebelum PRU ke 1 dulu.

“Latihan dalam bidang teknikal (upskilling) yang paling berkesan berlaku menerusi learning by doing dan on the job training. Jadi, selain dari technology transfer, pembinaan projek mega seperti HSR, MRT dan ECRL merupakan tempat terbaik untuk pekerja tempatan memperolehi skill baru dengan mempelajari penggunaan teknologi terkini secara terus di lapangan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemangkin pelaburan swasta dan pertumbuhan sekumpulan pemilik syarikat kecil dan sederhana (SME) turut dapat menjadi penyumbang terbesar kepada PMTK di negara.

“Keempat, mengurangkan pembaziran sumber produktif iaitu seperti keadaan kelembapan ekonomi kini bukan sahaja meningkatkan jumlah pengangguran buruh, malah terdapat banyak faktor produktif seperti jentera dan mesin dibiar tidak digunakan (excess capacity).

“Selain itu, pembatalan projek PR1MA, MRT3 dan HSR, serta penangguhan ECRL oleh Kerajaan Pakatan Harapan yang tiada kena mengena dengan pandemik telah menyebabkan banyak jentera berat berteknologi tinggi yang sudah sedia ada dalam negara tidak digunakan. Pembatalan projek transportasi awam berbasis rel elektrik oleh PH telah mengakibatkan banyak pekerjaan berproduktiviti tinggi terhapus, juga menyebabkan kehilangan kemahiran (skill lost) di kalangan pekerja terlatih dalam sektor tersebut.

“Akhirnya sekali, fokus menyediakan peluang pelaburan dan menjamin dana persaraan,” katanya.

Beliau berkata, bantuan lain kepada rakyat tidak akan terhalang walaupun kerajaan memutuskan untuk melaksanakan projek mega berimpak tinggi, kerana keduanya bukan bersifat mutual eksklusif.

“Sebaliknya ia dapat membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi pasca pandemik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here