HARAPAN rakyat Malaysia untuk mendapat kelonggaran rentas negeri semakin hampir apabila tinggal 4.3 peratus sahaja lagi menuju ke 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.
Peratusan vaksinasi populasi dewasa di Malaysia sehingga semalam adalah 85.7 peratus membabitkan 20,093,678 individu lengkap vaksinasi.
Manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 94.1 peratus atau 23,369,913 individu menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin setakat semalam adalah 43,367,580 dos.
Pada 22 September lalu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter, jumlah dos vaksin yang diberikan semalam adalah 338,661 dos.
Sebanyak 190,599 dos adalah dos satu daripada dua dos dan 148,062 dos lengkap.
Peratusan populasi keseluruhan di Malaysia yang lengkap vaksinasi adalah 61.5 peratus, manakala yang mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi adalah 71.6 peratus.
Jumlah populasi dewasa di Lembah Klang yang lengkap vaksinasi kini melebihi 100 peratus iaitu 110.5 peratus, diikuti Labuan (98.5), Negeri Sembilan (97), dan Perlis 90.8 peratus.
Sarawak juga mencatatkan peratusan populasi dewasa lengkap vaksinasi yang tinggi iaitu 89.5 peratus, manakala Melaka (87.3), Terengganu (84.3), Pulau Pinang (82.1) dan Johor 80.4 peratus.
Tiga negeri kini merekodkan kadar vaksinasi lengkap lebih 70 peratus bagi populasi dewasa iaitu Pahang dan Kedah masing-masing 73 peratus, dan Perak 70.9 peratus.
Kelantan pula mencatatkan 69.7 peratus, diikuti Sabah hanya mencatatkan 59.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. – Malaysiapost

