‘Tiada kena mengena dengan tokong, ini pasal jalan’ – Shahidan

0
2

Nurul Huda Abhar

KEKECOHAN dalam insiden Tokong Cina Chee How, Cheras yang tercetus Selasa lalu berpunca daripada isu jalan yang terletak bersebelahan rumah ibadat itu dan tiada kaitan dengan binaan tokong.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau kesal dengan laporan dikeluarkan seolah-olah kekecohan yang tercetus adalah berhubung kait dengan tokong tersebut.

“Kekecohan bukan tentang tokong tapi malangnya banyak orang telah menyebarkan berita yang tak tepat.

“Ini bukan pasal tokong, ini pasal jalan. Bila orang mula bercakap kononnya tentang tokong, memang tiada kena mengena dengan tokong,” katanya ketika melawat Kompleks Komuniti Muhibah, Kuala Lumpur hari ini.

Shahidan berkata, rundingan telah dibuat dengan pengurusan tokong itu dan pihak kontraktor yang terlibat serta keputusan telah dicapai dalam perbincangan tersebut.

“Mereka telah capai satu keputusan, tetapi tiba-tiba jadi ketegangan begini biarlah diselesaikan dengan cara elok. Sebab ia tidak melibatkan tokong, ia melibatkan jalan.

“Jadi bukan salah faham tetapi melaporkan itu salah. Kononnya melibatkan tokong. Tidak ia hanya melibatkan jalan di sebelah itu yang bukan dipunyai oleh tokong,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerja membina pagar penghadang ‘hoarding’ bersebelahan Tokong Cina Chee How, adalah bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi dan bukan untuk merobohkan binaan tokong itu.

Katanya, kawasan tersebut terdapat dua sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan SMK Jalan Sungai Besi yang akan dibina 24 kelas.

Kata Jalaluddin, Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak (tempoh selama 14 hari dari tarikh notis) telah dikeluarkan pada 6 Mei lalu oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Putrajaya terhadap yang berada bersebelahan tokong tersebut.

Selasa lalu, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden 30 individu menghalang dan menyerang anggota polis kerana membantah pembinaan pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran tokong itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here