Pengusaha bas ekspres masih belum tarik nafas lega

0
2

Nilam Oshman

PENGUSAHA bas ekspres masih belum dapat menarik nafas lega walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan kerajaan serta tiada lagi negeri berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presiden Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Mohd Nazri Md Yusof, berkata ini kerana aktiviti merentas negeri masih belum dibenarkan lagi dan perkhidmatan bas ekspres bergantung kepada perjalanan jarak jauh.

Katanya, ketika ini hanya kira-kira 10 peratus pengusaha bas ekspres yang beroperasi.

“Keadaan pengusaha bas ekspres masih seperti sebelum ini kerana perkhidmatan bas ekspres ini untuk perjalanan jauh, jadi sekarang ini merentas negeri belum dibenarkan lagi.

“Bagaimanapun kita beroperasi cuma untuk urusan penting berkaitan kerajaan tetapi penumpang tiada kerana rakyat tidak boleh merentas negeri.

“Lagipun syarikat bas ekspres yang kini beroperasi hanya 10 peratus. Para pengusaha bas ekspres masih sengsara,” katanya kepada Malaysiapost.

Bagaimanapun beliau menzahirkan rasa bersyukur apabila bantuan one-off RM500 kepada pemandu bas ekspres yang diusulkan pihaknya diterima oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini.

“Setelah bermesyuarat dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada 5 September lalu, pihaknya bersetuju memberikan bantuan one-off RM500 kepada pemandu-pemandu bas ekspres.

“Jadi kita ucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan bantuan itu kerana sebelum ini dipinggirkan, namun sebaliknya pemandu bas persiaran dan sekolah telah diberikan terlebih dahulu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here