KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) memohon pihak berkuasa menyegerakan kes siasatan berhubung kekecohan di sebuah tokong semalam, agar punca insiden itu diperoleh segera dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata beliau kecewa dan sedih dengan insiden kekecohan itu apabila sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi didakwa menyerang anggota polis, serta cuba merosakkan jentolak, disebabkan salah anggap bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan Tokong Cina Chee How.
Beliau menjelaskan di kawasan tersebut terdapat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi yang mempunyai 24 kelas yang akan dibina.
Pada masa sama, katanya, kedudukan Tokong Cina Chee How adalah berdekatan dua sekolah berkenaan.
“Pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL), bersama kontraktor hadir ke lokasi semalam untuk kerja membina pagar penghadang ‘Hoarding’ bersebelahan tokong.
“Ia bagi pembinaan laluan masuk ke tapak projek SMK Jalan Sungai Besi, bukan untuk merobohkan apa- apa binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan.
“Surat Pemberitahuan Pengosongan Tapak telah dikeluarkan pada 6 Mei 2021 oleh JKPTG Putrajaya terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung bersebelahan tokong Cina tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Jalaluddin berkata, dalam video tular 76 saat dikongsi di Facebook Tokong Wong Low Shen See Chee How, menunjukkan seolah- olah pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat mereka.
“Ini menimbulkan pelbagai persepsi negatif dan tidak sihat dalam kalangan netizen khususnya di ruangan komentar media sosial.
“Walaupun keadaan telah berjaya diredakan, saya memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kekeruhan persepsi antara penganut kepercayaan dengan pihak berkuasa.
“Apatah lagi ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak, sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengugat ketenteraman awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak sama ada penganut, pihak berkuasa mahupun netizen agar mencari titik penyatuan dan memberhentikan proses menggali perbezaan agar permuafakatan ideal bersama dapat dibentuk.
“Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, insiden sebegini tidak boleh berlaku di lain kali di mana-mana tempat demi menjaga prinsip kita sebagai Keluarga Malaysia yang tercinta,” katanya.
Susulan insiden itu, polis semalam menahan empat individu berusia 19 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan sehingga mengakibatkan anggota polis yang bertugas diserang. – Malaysiapost

