KOS menaiktaraf Kompleks Seri Perdana di Putrajaya diluluskan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menelan puluhan jutaan ringgit tidak sepatutnya berlaku di kala rakyat bergelut memerangi pandemik Covid-19.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata projek pengubahsuaian dan membaiki Kompleks Seri Perdana ketika ini dilakukan ketika era Muhyiddin, bukannya Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya difahamkan bahawa projek pengubahsuaian dan naik taraf Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri diluluskan dan bermula pada Mac 2021 di bawah kerajaan PM8, bukan PM9.
“Nilai asal keseluruhan projek RM38.5 juta (bukan RM30 juta seperti dilapor media) dan dijangka siap pada 7 Disember 2021,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Bagaimanapun Najib yang pernah mendiami Seri Perdana ketika menjadi Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018 mengakui ia tidak pernah diubah suai dan dinaik taraf secara besar-besaran.
“Walaupun saya mengaku Seri Perdana dah lama tidak diubah suai secara besar-besaran sejak dibina, tapi pada ingatan saya keadaan di Seri Perdana masih elok masa saya tinggalkannya pada Mei 2018,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu juga menyifatkan kos RM38.5 juta bagi projek berkenaan jauh lebih tinggi berbanding kos pembinaan Seri Perdana pada tahun 2000 iaitu RM24.17 juta.
“Apapun, wang RM38.5 juta tidak patut dibelanjakan untuk tujuan ini pada zaman pandemik sebab ianya tidak sensitif kepada rakyat yang sedang merayu untuk lebih banyak bantuan disalurkan akibat PKP bersambung PKP.
“Lebih-lebih lagi sebab ia dibelanjakan pada ketika PM8 sendiri kata kerajaan dah tak ada banyak wang lagi setelah kerajaan PN dahulu berbelanja RM600 bilion.
“Mungkin yang dimaksudkan dia ialah kerajaan dah tak ada banyak wang lagi bagi bantuan rakyat tapi masih ada wang untuk kerja ubah suai rumah PM,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Instagram/ Najib Razak

