KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menjelaskan buat masa kini kebenaran rentas negeri untuk aktiviti pelancongan hanya dibenarkan melalui Gelembung Pelancongan Langkawi sahaja dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sementara itu, pelancong domestik dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan Intra-State (dalam negeri sama) bagi negeri-negeri yang berada dalam Fasa 2 dan ke atas berdasarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Motac dalam kenyataan berkata, kebenaran untuk melakukan aktiviti pelancongan adalah tertakluk kepada SOP yang telah diwartakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kenyataan itu memetik kenyataan Sidang Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 September lalu.
“Beliau (Perdana Menteri) menyatakan kerajaan akan membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dengan syarat negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa (nationwide) berdasarkan data dan analisis dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kerajaan akan membuat pengumuman rasmi sebaik sahaja mendapat suatu tarikh yang bersesuaian.
“Berdasarkan rekod melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga 28 September 2021, sebanyak 85.1 peratus populasi dewasa telah lengkap divaksinasi,” kata kenyataan itu hari ini. – Malaysiapost

