Ahmad Maslan bebas tuduhan gagal isytihar RM2 juta, beri penyataan palsu

0
2

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berdasarkan kenyataan Tetuan Shahrul Hamidi yang mewakili Ahmad, perintah tersebut telah diberikan selepas pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah berkenaan dengan satu proses penyelesaian melalui pembayaran kompaun yang telah diselesaikan oleh Ahli Parlimen Pontian itu.

“Proses penyelesaian ini telah melalui beberapa siri permohonan, perbincangan, timbang tara antara pihak-pihak yang berkenaan dan hanya direkodkan di Mahkamah selepas dimuktamadkan oleh pihak-pihak.

“Proses penyelesaian ini juga telah dimuktamadkan selepas pihak-pihak bersedia untuk memberikan komitmen masing- masing terhadap terma penyelesaian yang dipersetujui,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu turut menegaskan penyelesaian tersebut bukan pengakuan bersalah Ahmad terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Katanya, proses penyelesaian itu adalah semata-mata bagi tujuan kes berkenaan dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran, serta tidak melibatkan melibatkan mana-mana orang atau agensi lain.

‘Penyelesaian ini adalah satu penyelesaian yang menang-menang (“win-win situation”) bagi semua pihak dan seiring dengan undang-undang. Ahmas juga telah menyelesaikan komitmen beliau bagi tujuan penyelesaian ini iaitu melunaskan pembayaran kompaun sepertimana yang telah dipersetujui oleh Pendakwaan dan Pembelaan.

“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM 1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau,” katanya.

Hari ini, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan melepas dan membebaskan Ahmad selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam.

“Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan terhadap tertuduh Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama di masa akan datang.

“Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan kompaun tersebut,” katanya

Sebelum ini, Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.

Terdahulu Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonan Ahmad agar kes tersebut dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Sementara pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, berhubung cek tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here