
[PARLIMEN] SELANGOR merekodkan individu paling ramai diisytihar muflis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan lebih 10,000 individu diisytiharkan muflis sepanjang tempoh PKP antara Mac tahun lalu sehingga Julai tahun ini.
“Jumlah kes kebangkrapan mengikut bilangan individu yang muflis dari Mac 2020 hingga ke Julai 2021 adalah 10,317 kes,” katanya dalam jawapan secara bertulis di Parlimen.
Perdana Menteri menjelaskan, berdasarkan pecahan negeri, Selangor mencatatkan kes kebangkrapan tertinggi dengan 2,555 kes diikuti oleh Wilayah Persekutuan (1,288), Johor Bahru (792), Perak (628), Sabah (623), Pulau Pinang (488), Negeri Sembilan (481), Kedah (477) dan Kelantan (419).
Tambahnya, sebanyak 1,246 perniagaan gulung tikar dalam tempoh yang sama.
“Sebanyak, 1,246 497 adalah syarikat yang didaftarkan di Wilayah Persekutuan diikuti Selangor dengan 273 kes. Negeri-negeri lain termasuk Johor (90), Pulau Pinang (63), Perak (53) dan Sabah (52),” katanya.
Perdana Menteri turut menjelaskan penutupan perniagaan meningkat pada November 2020 dengan 144 kes.
“Berdasarkan input Kementerian Kewangan (MOF), kerajaan tidak menyediakan bantuan khusus untuk peniaga yang menamatkan perniagaan, sebaliknya mengambil pendekatan memberi bantuan dan insentif untuk menyokong kelangsungan perniagaan mereka,” katanya. – Malaysiapost
