KKR belum terima permohonan rasmi pembinaan jambatan ketiga Pulau Pinang

0
2

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada kerajaan Pulau Pinang berkaitan pembinaan jambatan ketiga menghubungkan bahagian pulau dengan tanah besar untuk menggantikan terowong dasar laut.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan Pulau Pinang perlu mematuhi semua kriteria ditetapkan KKR sebelum melaksanakan sebarang projek yang dirancang.

Katanya, kajian awal perlu dilakukan bagi memastikan keperluan projek tersebut termasuk kesan sosial kepada masyarakat serta persekitaran.

“Dalam setiap pelaksanaan projek kita kena kaji banyak perkara, pertama sekali kajian awal sama ada projek ini diperlukan atau tidak.

“Jika projek ini diperlukan, kriteria kedua adalah memikirkan projek ini memberi kesan sosial kepada masyarakat, persekitaran serta kos efektif. Semua kriteria ini perlu dipenuhi sebelum melaksanakan sebarang projek,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Beliau mengulas mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang yang tidak menolak kemungkinan untuk membina jambatan ketiga menggantikan terowong dasar laut.

Semalam media melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak menolak kemungkinan membina jambatan ketiga namun ia belum lagi dipertimbangkan.

Jelasnya, sebarang pertimbangan berhubung perkara itu hanya akan dilakukan selepas kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri. – Malaysiapost

Kredit Foto: Twitter/Fadhillah Yusof

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here