PERSATUAN Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menyarankan kerajaan untuk mengutamakan tindakan tegas kepada pemandu di bawah pengaruh dadah dan mabuk berbanding pemandu warga emas.
Presidennya, Che Hassan Che Johan berkata memang tidak dinafikan ramai warga emas melakukan kesalahan jalan raya, namun statistik menunjukkan kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi.
“Saya tidak nafikan ada antara warga emas atau ‘old timer’ (otai) melakukan kesalahan lalu lintas sebelum ini, tetapi boleh kira dengan jari, lagi pun kita perlu lihat sudut menyeluruh kegunaan kenderaan untuk warga emas yang bekerja walaupun usia 70 tahun dan lebih.
“Cuba kita perhatikan kematian kerana kemalangan jalan raya setakat April tahun lalu, berdasarkan statistik kadar kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi iaitu 3,118 daripada 4,634 kematian di jalan raya.
“Mengurangkan kematian yang tiada penghujung sehingga sekarang? Perketatkan syarat-syarat untuk penungang motosikal terutamanya membabitkan penghantar makanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Che Hassan meminta kerajaan meminda undang-undang terhadap pemandu mabuk dan pengaruh dadah dengan lebih tegas.
“Saya sarankan kerajaan ubah peraturan yang ada ketika ini bagi pemandu mabuk dan terbabit dadah ketika memandu, sekiranya pemandu itu ditangkap, secara automatik lesen memandu ditarik balik dan digantung seumur hidup.
“Jangan bimbang pada otai di negara ini yang masih sihat walaupun banyak yang telah meninggal kerana pandemik Covid-19, contoh terdekat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun umurnya mencecah 96 tahun, beliau masih sihat dan tidak nyanyuk, sesuatu yang wajib pemandu warga emas lain contohi,” katanya.
Pada 25 September lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataan mengulas cadangan mengehadkan pengeluaran lesen memandu Malaysia (LMM) kepada warga emas berusia 70 tahun dan ke atas itu, dengan menyatakan pemandu berusia tersebut mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda.
“Jadi, satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia,” katanya. – Malaysiapost

