Pembangkang pertikai ‘kehilangan’ menteri, timbalan menteri

0
2

[PARLIMEN] ISU kehadiran menteri dan timbalan menteri di Dewan Rakyat dibangkitkan apabila ramai yang ‘hilang’ ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbahas, hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Intan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) yang mencelah ketika Ahli Parlimen Port Dickson itu membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya rasa adalah penting dalam aspek transformasi Parlimen apabila Ketua Pembangkang berucap menteri dan timbalan menteri perlu hadir mendengar.

“Negara kita mempunyai Kabinet paling besar di dunia mengikut jumlah bilangan penduduk iaitu 69 menteri dan timbalan menteri, namun menyedihkan apabila hanya lima yang hadir ketika Ketua Pembangkang berucap,” katanya dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, ia adalah kod etika asas dalam Parlimen tetapi tidak dipatuhi dan berharap langkah atau tindakan diambil berhubung perkara itu.

Sementara, Anwar berpendapat peringatan dibangkitkan Khor Ming itu baik kerana pihak kerajaan perlu mendengar pandangan semua pihak.

“Saya semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu setiap kali Ketua Pembangkang berucap saya akan hadir mendengar sampai habis walaupun sakit telinga hanya Tuhan sahaja yang tahu, kerana pada masa itu Lim Kit Siang jadi Ketua Pembangkang.

“Ini etika Parlimen, tetapi menteri-menteri sekarang ini dilihat hanya mendengar satu pandangan sahaja dan tidak bersedia mendengar kupasan pihak lain walaupun kita tidak bersetuju.

“Kita (pembangkang) dengar sepenuhnya ucapan pembentangan Perdana Menteri dan tidak ganggu kerana dia agak sopan sedikit daripada yang sebelum-sebelumnya,” katanya sebelum meneruskan ucapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here