KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan membuat ‘pusingan U’ dalam usaha mendesak supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran menerusi i-Citra minimum RM10,000.
Beliau menyifatkan laporan sebuah portal dan dakwaan di media sosial yang mempersoalkan pendiriannya dan Pemuda Umno berhubung isu itu adalah satu bentuk fitnah.
“Media pemfitnah! Bila masa saya u-Turn?
“Saya dan Pemuda Umno tetap konsisten memperjuangkan suara rakyat mendesak kerajaan melalui KWSP benarkan pengeluaran RM10,000 one-off melalui i-citra,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi, menggesa agar pihak yang berkenaan membaca dan meneliti kenyataannya berhubung desakan pengeluaran i-Citra.
“Baca postinglah posting saya sebelum ini betul-betul.” katanya yang turut berkongsi tangkap layar berhubung dakwaan terhadapnya itu.
Berdasarkan perkongsiannya itu, sebuah laman Facebook membuat hantaran bertanyakan sama ada dia sudah membuat pusingan U berhubung perkara berkenaan dengan merujuk laporan sebuah portal media.
Laporan portal memetik kenyataannya mengatakan orang ramai tidak perlu bergantung kepada pengeluaran KWSP sekiranya kerajaan menyediakan bantuan tunai secukupnya dalam Belanjawan 2022 nanti.
Portal itu menimbulkan persoalan sama ada Ketua Pemuda Umno membuat pusingan-U kerana sebelum ini paling beria-ria mendesak supaya KWSP membenarkan pengeluaran menerusi i-Citra minima RM10,000 secara one-off kepada pencarumnya. – Malaysiapost

