Muhyiddin puas hati dengan perkembangan terkini kes Covid-19

0
2

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) hari ini bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi melaksanakan segala keputusan yang dibuat di peringkat negeri dan daerah.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat MPN yang dipengerusikannya buat kali pertama hari ini.

Jelasnya, Majlis Pemulihan Negeri itu akan dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri berperanan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

“Ia untuk memastikan keputusan MPN dilaksanakan di peringkat negeri, memperaku strategi dan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah, dan memantau impak pelaksanaan inisiatif pemulihan di peringkat negeri dan daerah.

“Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah sedia ada akan bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan dan pemantauan inisiatif pemulihan negara di peringkat daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri dan mekanisme yang berkaitan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan persetujuan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN akan menumpukan kepada pemulihan negara secara menyeluruh melibatkan pelbagai sektor dan kumpulan terkesan.

“Sektor-sektor yang perlu diberikan keutamaan dalam proses pemulihan, terutamanya aktiviti ekonomi yang paling memberikan sumbangan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sektor yang paling banyak menyediakan pekerjaan dan sektor yang paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“Bantuan yang boleh disediakan kepada perniagaan, usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk bangkit dan meneruskan perniagaan;

“Masalah kemiskinan pasca pandemik dalam kalangan penduduk bandar dan luar bandar; dan
Kumpulan rentan dan bentuk bantuan yang boleh disediakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat hari ini juga memberikan fokus kepada persiapan bagi pembukaan semula sektor pelajaran.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pembentangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengenai perkembangan terkini kes-kes Covid-19 dan kadar penggunaan katil wad ICU yang telah menunjukkan penurunan.

“Begitu juga dengan ketersediaan vaksin yang mencukupi untuk tujuan suntikan booster dose bagi semua penduduk dewasa di negara ini hasil daripada keputusan yang telah dibuat sebelum ini untuk menempah sejumlah vaksin yang lebih daripada mencukupi bagi keperluan penduduk negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pembukaan Institusi Pendidikan Tinggi secara berperingkat bermula pada 15 Oktober 2021 dan pembukaan sekolah secara berperingkat bermula pada 3 Oktober 2021.

Katanya, pihaknya juga maklum prosedur operasi standard (SOP) yang akan berkuatkuasa demi melindungi warga Institusi Pengajian Tinggi dan warga sekolah dari jangkitan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here