Ketua Menteri diputuskan ADUN BN, rakan kongsi selepas PRN

0
2

BARISAN Nasional (BN) memutuskan bahawa Ketua Menteri Sabah hanya akan dipilih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu bersama rakan kongsi politik yang lain.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia akan diputuskan apabila cukup bilangan kerusi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang membayangkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dari Bersatu, Datuk Hajiji Noor bakal dinamakan ketua menteri jika pakatan itu bersama BN membentuk kerajaan negeri, jika disokong rakan parti lain.

“Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju… Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah,” katanya di Tuaran.

Sementara itu, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata soal siapa ketua menteri akan dibincangkan selepas PRN.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan dalam kenyataan ringkas di Facebooknya berkata perkara itu tidak dibincangkan oleh Perdana Menteri dengan BN.

Beliau seterusnya berkata, Umno akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkembangan terbaharu itu hari ini.-Malaysiapost