Peratusan ekuiti korporat Bumiputra masih rendah – PM

0
2

PEMILIKAN ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran bagi 2019 menunjukkan pegangan Bumiputera hanya mencapai kadar 17.2 peratus.

“Bukan Bumiputera 25 peratus, asing 45.5 peratus dan nomini 12.3 peratus,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain.

“Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

“Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, langkah itu adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera.

“Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here