PRN Sabah: Hajiji mungkin Ketua Menteri baharu

0
2

KETUA Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor, mungkin dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah jika Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di Tuaran pagi ini.

Dalam ucapannya, Muhyiddin memberi bayanhan penyandang Hajiji bakal memegang jawatan ketua menteri jika disokong rakan parti lain.

“Kerja untuk bantu calon kita ini manalah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, Barisan Nasional (BN) dan yang lain pun bersetuju..

“Hajiji adalah yang terbaik kita nak tawarkan sebagai calon memimpin negeri Sabah,” katanya di Tuaran.

Muhyiddin hadir untuk memberi semangat kepada Hajiji sebelum mengemukakan pencalonan bagi kerusi DUN Sulaman di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.

Beliau berkata, atas sebab itu Hajiji perlu diberikan sokongan untuk memenangi kerusi DUN Sulaman.

“Kita semua brdoa dengan izin Allah Hajiji nanti selesai pilihanraya ini akan terpilih menjadi wakil rakyat di sini,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Muhyiddin mengumumkan kerjasama PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah apabila memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September ini.

Mengulas mengenai kemungkinan beliau dilantik Ketua Menteri jika PN, BN dan PBS menang, Hajiji berkata isu itu akan dibincangkan apabila tiba masanya.

“Saya tidak dimaklumkan secara khusus mengenai perkara ini tapi apapun kita dengan parti rakan BN dan PBS akan selesaikan isu ini bila tiba masanya.

“Apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk memenangi pilihan raya,” katanya.

Mengenai Gabungan Rakyat Sabah yang diumumkan Perdana Menteri, Hajiji berkata nama itu dipilih kerana ia dilihat sangat baik untuk ditawarkan kepada rakyat selepas WARISAN.-Malaysiapost