KKM benarkan suami lengkap vaksin teman isteri bersalin – KJ

0
2

SUAMI yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan untuk menemani isteri yang akan melahirkan anak dalam wad bersalin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan.

Katanya, bagaimanapun suami yang mahu menemani isteri dalam wad bersalin perlu menjalani ujian Covid-19 dan disahkan negatif, sebelum dibenar berbuat demikian.

“Saya sudah minta Tan Sri Dr Noor Hisham untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalani ujian saringan COVID dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam wad bersalin,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab permintaan seorang pengguna Twitter @ArvinAlaga, yang memohon suami lengkap divaksin dan negatif ujian saringan Covid-19 dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.

Sebelum ini, hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu akibat penularan Covid-19.

Jun lalu, Dr Noor Hisham berkata, pemberian kebenaran untuk suami menemani isteri di dalam dewan bersalin adalah bergantung pada dasar dan ruang terbabit di sesebuah hospital itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here