Lebih RM57 juta kerugian dilaporkan, ditipu sindiket menyamar pegawai kerajaan

0
2
grafik

POLIS mengesan sebanyak 1,421 kes penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon yang melibatkan kerugian berjumlah RM 57,372,102.72 dilaporkan sejak Januari hingga 15 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata sindiket itu akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, mahkamah, Kastam Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Melalui panggilan tersebut, sindiket akan cuba menakutkan mangsa dengan memaklumkan penglibatan mangsa dalam siasatan kes jenayah,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, mangsa yang percaya dengan dakwaan yang dibuat seterusnya akan diarahkan untuk menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan, ID pengguna, nombor kad pengeluaran tunai dan nombor TAC kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa.

“Mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) yang kononnya milik pegawai Bank Negara bagi tujuan siasatan.

“Mangsa dijanjikan bahawa wang tersebut akan dikembalikan semula selepas beberapa hari,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas mendapati wang tersebut tidak dikembalikan.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon terutamanya melibatkan siasatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here