Nilam Oshman
MALAYSIA mencatatkan 278 kematian akibat Covid-19 setakat semalam dengan 99 daripadanya meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Bagaimanapun berdasarkan data dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) di laman web COVIDNOW, jumlah sebenar kematian akibat Covid-19 purata seminggu di negara ini semalam adalah sebanyak 90, manakala selebihnya adalah kematian tertunggak (backlog).
Jumlah keseluruhan kematian di Malaysia setakat ini ialah 25,437.
Kes kematian per 100,000 populasi dicatatkan dalam tempoh dua minggu menunjukkan Pulau Pinang kekal mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 14.8 peratus kes kematian.
Ia diikuti Johor 10.9 peratus, Sabah 6.9 peratus dan Kelantan 6 peratus.
Seramai 1,050 pesakit sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 582 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, jumlah kematian semalam merangkumi tiga kematian sebenar Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.
Daripada 13,104 kes harian yang dilaporkan semalam, 201 kes (1.5 Peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5.
Manakala, 12,903 kes (98.5 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2. – Malaysiapost

