PENINGKATAN mendadak kategori kluster komuniti di Sarawak sejak Ogos lalu terutamanya melibatkan komuniti rumah panjang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diperoleh hasil analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Katanya, sehubungan itu, KKM dan Kerajaan Negeri Sarawak akan bekerjasama memperkasa komuniti melalui program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen).
Beliau berkata, ianya terutama di rumah-rumah panjang dalam pembudayaan norma baharu; kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP); isolasi kendiri dan pemantauan kesihatan kendiri serta pemerkasaan tingkah laku kesihatan (health seeking behaviour).
“Lawatan kerja rasmi Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Malaysia dan pengurusan tertinggi KKM ke negeri Sarawak pada hari ini dimulakan dengan Mesyuarat Khas Imunisasi dan Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan bersama YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
“Mesyuarat ini turut disertai secara maya oleh Residen-residen Bahagian dari seluruh negeri Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, antara tumpuan utama perbincangan termasuk mobilisasi sumber manusia secara dalaman dan luaran, meningkatkan kapasiti hospital dan katil bagi rawatan Covid-19, serta mengurangkan kes kematian Covid-19.
Katanya, selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada ujian pengesanan Covid-19 termasuk RTK Antigen dan terus mengisolasi kes sekiranya didapati positif, perluasan Virtual Covid-19 Assessment Centre (VCAC) dan Digital Home Surveillance Order (HSO).
Tambah beliau, KKM juga akan meningkatkan liputan vaksinasi Covid-19 bagi keseluruhan populasi negeri Sarawak termasuk untuk golongan remaja, serta pengenalpastian golongan berisiko yang akan diberi keutamaan bagi dos vaksin penggalak (booster dose).
“Keupayaan menangani pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama semua pihak. KKM akan terus menerus memastikan intervensi kesihatan awam dan perawatan perubatan dapat dilaksanakan secara efektif demi kesejahteraan rakyat di negeri Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

