Pendedahan demi cari kebenaran – Firdaus Wong

0
3

PENGASAS Multiracial Reverted Muslims (MRM), Firdaus Wong Wai Wung menegaskan tindakannya mendedahkan dakwaan salah laku seksual seorang pendakwah terkenal bukanlah untuk menjadi hero atau mendedahkan aib orang lain.

Beliau yang juga pendakwah bebas, berkata apa yang didedahkan pihaknya adalah berdasarkan laporan diterima daripada mereka yang menjadi mangsa.

Menurutnya, tindakan itu juga tidak akan menjatuhkan umat Islam daripada golongan agamawan.

“Jawapan saya adalah ya dan tidak. Ya, kerana mungkin ada manusia yang kurang rasional, mereka akan menyalahkan agama dan kecewa dengan agamawan.

“Tapi kalau manusia yang rasional, mereka akan fikir, bukankah ini lebih baik didedahkan untuk mencegah kemungkaran.

“Bayangkan, kalau seorang agamawan A melakukan satu perkara terkutuk, lalu yang membawa isu ini adalah golongan liberal yang tak suka kepada Islam, apakah implikasinya? Lagi teruk, bukan?,” katanya dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia.

Firdaus Wong kelmarin, mendedahkan sebuah klip video sumpah laknat seorang individu menerusi saluran Telegram miliknya yang mendakwa abang kepada mangsa gangguan seksual melibatkan seorang pendakwah terkenal itu.

Berdasarkan video 46 saat itu, individu berkenaan dikatakan telah membuat laporan polis berkenaan hal itu.

Mengulas lanjut, Firdaus Wong dengan memetik satu hadis yang membawa maksud bahawa Rasulullah SAW meminta umatnya mengambil tindakan terhadap sesiapa saja termasuk mereka yang mulia jika melakukan kemungkaran.

Katanya, tindakannya adalah untuk mencari kebenaran dan mengelak imej Islam daripada dicemari pihak tertentu.

“Kami, yang pertama secara jujur, bila kes ini sampai, kami fikirkan tentang imej dan reputasi agama Islam. Bagaimana imej agama kita. Bagaimana kita mahu jaga imej agama kita daripada dirosakkan?

“Bagaimana kita mahu jaga agama kita daripada dihina oleh orang lain bila kes ini bocor, bila nama mula dipanggil?

“Sebab itu, sehingga pihak polis memanggil individu tersebut tempoh hari, kami tak pernah sebut nama dia pun. Sebab waktu itu adalah proses untuk kami mematangkan masyarakat, memberikan kesedaran kepada masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here