DEWAN Pemuda PAS menegaskan agar Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355 dapat dibentang dan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.
Perkara itu dinyatakan Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin dalam ucaptama sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali ke-61 di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Julai lalu.
Selain isu tersebut, perkara lain diutarakan antaranya menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) isu Tabung Haji dan menyeru agar usaha dakwah dan kebajikan umat Islam di Sabah dan Sarawak diberi perhatian lebih serius dan menyeluruh.
Julai lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyangkal dakwaan menyatakan parti itu belum bersedia ketika mencadangkan pelaksanaan RUU 355.
Beliau dilaporkan berkata negeri di bawah pentadbiran PAS iaitu di Terengganu dan Kelantan sudah melaksanakannya melalui peruntukan Enakmen Syariah yang ada.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah syariah tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.
Sementara itu, Khairil Nizam menyifatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai pemecah-belah kaum dan agama di Malaysia.
Katanya, sepanjang 22 bulan pentadbiran PH, keretakan hubungan antara kaum dan agama sangat terasa.
“PH sering mencabar ‘kewibawaan’ agama Islam sebagai agama Persekutuan, sekalipun Perlembagaan jelas memberi keadilan kepada kepada penganut agama lain bahawa mereka bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.
“Mereka mahu negara kita menjadi sekular sepenuhnya, walhal agama Islamlah formula asas dalam membentuk perpaduan bagi masyarakat majmuk.
“Tanpa agama Islam, orang Melayu akan terbawa-bawa dengan semangat ketuanan Melayu yang akan menindas bangsa lain,” katanya.
Katanya lagi, PH turut mencabar kedudukan istimewa agama Islam dalam pentadbiran negara dan menafikan hak orang Melayu dan Bumiputera untuk diberi keupayaan bersaing secara adil dalam lanskap perkongsian ekonomi yang sangat berat sebelah ini.
“Ia langkah drastik yang akan meranapkan perpaduan negara. Tanpa perpaduan, kita akan kehilangan kemakmuran dan keharmonian. Bahkan kita mungkin kehilangan tempat berteduh,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, PH juga mencabar usaha untuk memperkasakan ekonomi dan kebajikan bangsa Melayu dan Bumiputera atas alasan ia adalah satu ketidakadilan kepada bangsa lain.
“Mereka sengaja melupakan golongan majoriti penduduk negara yang terpinggir daripada arus kemajuan negara, walhal orang Melayu dan Bumiputera ini golongan telah berjuang memerdekakan tanahair dengan segala keringat, darah dan air mata selama ratusan tahun,” ujarnya. – MalaysiaPost

