KERAJAAN menyangkal dakwaan Malaysia menerima arahan daripada China berhubung isu pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sebaliknya Malaysia hanya ingin mendapat maklum balas dari negara tersebut.
Justeru itu, beliau menyifatkan kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang Malaysia menerima arahan China sebagai tidak berasas.
“Ingin saya jelaskan semula, cadangan mendapatkan pandangan China terhadap isu AUKUS supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif.
“Malaysia baik dengan dua-dua pihak, China atau pun Amerika Syarikat, saling menghormati. Tidak ada yang boleh laga-lagakan hubungan baik negara dengan dua kuasa besar itu.
“Namun, kemesraan kita itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita,” katanya dipetik BH Online hari ini.
Terdahulu, Jawatankuasa Keselamatan PH (JKPH) mengeluarkan kenyataan mendakwa cadangan Malaysia mendapatkan pandangan China itu, sebagai menerima arahan daripada kuasa besar itu.
Rabu lalu, Hishammuddin dilaporkan memaklumkan Malaysia akan mendapatkan pandangan daripada China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan AUKUS.
Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadang untuk melakukan lawatan kerja ke republik itu dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai perkara berkenaan. – Malaysiapost

