Vaksinasi ‘walk-in’ remaja kelam kabut, cetus rungutan ibu bapa?

0
2

PROGRAM vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun bermula Isnin lalu, mencetuskan rugutan orang ramai termasuk ibu bapa yang mendakwa sistem diperkenalkan terutama membabitkan vaksinasi ‘walk-in’ agak kelam kabut.

Seorang pengguna Facebook Zamzurina Ahmad yang berkongsi pengalamannya menghantar anak bagi mendapatkan vaksinasi secara ‘walk-in’ di Kuantan hari ini, berkata kebanjiran ibu bapa dan anak masing-masing di pusat vaksin menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) terabai.

Katanya, selain menyebabkan perkumpulan besar individu, kaedah ‘walk-in’ itu juga tidak lancar sehingga mereka terpaksa berbaris selama hampir satu jam sebelum mendapat tempat duduk.

“Sejauh mana keberkesanan ‘walk in’ vaksin bagi pelajar sekolah menengah?

“Pengalaman anak sendiri.. terima surat dari pihak sekolah yang memaklumkan bahawa pelajar sekolah di luar Kuantan perlu mendapatkan vaksin masing-masing di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuantan.

“Maka, berarak anak dan seorang penjaga seawal jam 8 pagi.. seusai tiba, SOP yang kita amalkan selama ini macam sia-sia,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, dia turut menyertakan gambar dan video keadaan kesesakan dipercayai di sebuah PPV di Kuantan, Pahang.

“Dalam sekelip mata terpaksa berkumpul ramai-ramai. Hampir satu jam berbaris baru dapat duduk.

“Tapi timbul pula persoalan, yang datang ramai-ramai seluruh pelosok Kuantan ini bebaskah mereka dari virus?

“Ya Allah.. tawakal sahaja. Duduk juga dikerusi yang disediakan.. sembur sendiri je la berbekalkan sanitiser sendiri,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran sama, dia memohon pihak berwajib supaya lebih praktikal dalam mengedalikan program pemberian vaksin kepada remaja dan pelajar sekolah.

“Usaha kita nak putuskan rantaian Covid-19 ini bukan sahaja dilihat dalam dewan yang patuh SOP. Lihat juga kami yang berbaris di luar dewan menunggu giliran di bawah terik mentari.

“Kita rakyat marhain ini bukan hanya tahu kritik dan cari salah tetapi kita juga sama-sama hadap dan terkesan,”katanya.

Sebelum ini, media melaporkan program vaksinasi terhadap kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini, khususnya pelajar sekolah bermula Isnin lalu.

Bagi sekolah yang mempunyai lebih 1,000 pelajar, proses vaksinasi akan dilaksanakan secara terus di premis masing-masing.

Manakala, sekolah yang mempunyai kurang daripada 1,000 pelajar, akan disatukan dengan empat atau lima sekolah lain, bagi memastikan program vaksinasi itu berjalan lancar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here