AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng terus membantu masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan menghantar pesakit dari Hospital Kuala Lumpur ke rumah lelaki itu di Kemaman, Terengganu.
Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, Chee Heng yang lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ berkata, pihaknya dihubungi individu yang meminta bantuan untuk menghantar pulang ‘orang kesayangan’ yang terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke kampung halamanya.
“Beliau bertugas di Hospital Selayang. Orang kesayangan ada di HKL, doktor suruh bawa balik ke Terengganu di Kemaman kerana sudah ‘hampir sampai masa’ untuk lapor diri dengan pencipta Nya.
“Kawan tu mana lah ada sangat duit dah sakit lama. Kita pi bantu hantar ke Kemaman,” tulisnya.
Uncle Kentang berkata, urusan penghantaran itu menggunakan khidmat dua pemandu bersama seorang kakitangan perubatan ke kampung halaman warga emas itu.
“Inilah sedikit yang kita hulurkan bantuan. Kita pakai dua pilot ( pemandu) dan satu medic untuk bersama pakcik yang akan pulang, pulang ke kampung halaman beliau… dengan RM1..
“Thanks kepada #petronmalaysia, thanks kepada #goodyearmalaysia, thanks kepada #LIQUIMOLY Thanks kepada #kakimotor mereka semua adalah partners kami dalam usaha membantu orang ramai dalam susah,” katanya.
Jelas Uncle Kentang, warga emas berkenaan telah berjaya dihantar pulang ke Kemaman, selain meminta orang ramai mendoakan urusan lelaki itu dipermudahkan. – Malaysiapost

