Kenapa ambil masa nak rehatkan bos SPRM – Shahrir

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abd Samad mempersoalkan tempoh masa diperlukan untuk memutuskan sama ada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki wajar direhatkan atau sebaliknya. 

Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, kelewatan memutuskan perkara itu bukan sahaja menjejaskan kredibiliti dan integriti SPRM, malah memberi impak kepada imej kerajaan. 

“Dari segi urus tadbir yang baik, ia menimbulkan tanda tanya mengapa ada tempoh antara masa isu itu mula terbuka dengan masa mendapatkan keputusan (Perdana Menteri) sama ada harus direhatkan ketua pesuruhjaya SPRM atau tidak,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Isu itu mendapat perhatian susulan siasatan terhadap tiga pegawai kanan SPRM membabitkan kes kehilangan wang berjumlah USD6 juta (RM25 juta) milik bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. 

Shahrir berkata, kes itu bukan perkara kecil yang wajar dilengahkan kerana ia membabitkan tahap keyakinan awam terhadap SPRM. 

Beliau mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat semalam yang mempertahankan tindakan SPRM menyiasat pegawainya sendiri yang terbabit dalam kes itu, walaupun dipertikaikan kerana kes curi bukan di bawah bidang kuasa mereka. 

Wan Junaidi juga dilaporkan menolak cadangan supaya Azam bercuti sementara siasatan dilakukan. 

Bagaimanapun Wan Junaidy berkata, cadangan merehatkan Azam akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Shahrir turut mempertikaikan kenapa SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi selepas tempoh reman tiga pegawai kanan itu berakhir. 

“Ikut cakap menteri di Parlimen, laporan polis dibuat hanya selepas Ahli Parlimen DAP menimbulkan perkara ini dalam perbahasan terhadap Titah Diraja,” katanya.  

Shahrir juga berkata, kes itu tidak wajar dibiarkan hingga mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan dan SPRM. 

“Ini soal integriti dan urus tadbir baik. Ke mana pergi duit itu semua? (Sama ada) yang tulen dan yang palsu, banyak tu! Where is the money? Follow the money!” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here