‘Saya tak tahu apa dalam kepala Ku Li’

0
2

UMNO yang wujud hari ini adalah parti yang sama konsepnya seperti Umno yang ditubuhkan sejak 11 Mei 1946 dahulu. 

Malah Setiausaha Agung Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, parti itu tidak pernah menukar dasar dan perlembagaannya sejak ia ditubuhkan.  

“Tidak ada apa yang berubah, perjuangan Umno kekal sama seperti dahulu, sama ketika pengasasnya Datuk Onn Jaafar menubuhkan Umno melawan Malayan Union.  

“Malah perjuangan, dasar, konsep, prinsip dan perlembagaan Umno tidak berubah. Jadi tidak timbul Umno baharu ada perbezaan dengan Umno asal,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.  

Ditanya pandangannya terhadap kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu menghidupkan kembali Umno asal, Mustapha enggan memberi komen kerana tidak tahu apa yang sedang difikirkan veteran Umno itu ketika ini.  

“Saya tak boleh nak komen apa-apa, kerana saya tidak tahu apa yang ada di kepala Ku Li sekarang.  

“Beliau kata Umno asal pengsan sekejap, tapi saya tak tahu apa maksudnya itu dan apa yang sedang difikirkannya sekarang,” katanya.  

Jelas Mustapha, Umno lama dan Umno baharu tiada bezanya kerana ia hanya bersifat teknikal berikutan terpaksa ditubuhkan semula ekoran dibatalkan penubuhannya oleh mahkamah pada tahun 1988. 

“Perkara yang lepas, kita lupakanlah, telah menjadi sejarah. Umno sekarang masih sama kerana Umno yang baharu ini secara teknikal sahaja akibat kejadian yang berlaku pada tahun 1988 itu,” katanya.  

Selasa lalu, Tengku Razaleigh menyatakan hasratnya untuk menghidupkan kembali Umno asal yang diharamkan ketika era pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.  

Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu, Umno asal yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 4 Februari 1988 itu “tidak pernah diharamkan” kerana RoS tiada kuasa untuk berbuat demikian. 

“Nampak pembatalan pendaftaran oleh pendaftaran pertubuhan tidak mengikut akta pertubuhan 65 yang diberi kuasa di bawah akta tersebut. 

“Jua kita berfikirkan penghakiman oleh Mahkamah Tinggi mengharamkan Umno juga di luar bidang dan sepatutnya peguam mewakili Umno patut melarang hakim daripada membuat keputusan sedemikian rupa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here