DEWAN Ulamak Pas Pusat (DUPP) menggesa Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan semula bagi membenarkan peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan pada tahun ini, kerana ianya bukan pilihan untuk menstabilkan negara.
Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah, berkata beliau merujuk kepada jawapan bertulis daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam Parlimen hari ini yang memaklumkan bahawa pada tahun ini kekerapan membuat cabutan khas nombor ramalan telah meningkat kepada 22 kali.
Katanya, ia telah meningkat secara mendadak berbanding hanya lapan kali sahaja pada 2020.
“Justeru, perkembangan ini amat mengecewakan kepada kami selaku pimpinan dan ahli kepada Pas sebagai salah satu parti kompenen untuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini.
“Peningkatan kekerapan cabutan khas ini seolah-olah menzahirkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah memberi lampu hijau dalam menggalakkan rakyat Malaysia dalam kegiatan tidak bermoral ini.
“Selain ia telah dihukum sebagai haram di sisi agama Islam, ia jelas akan menyumbang kepada keruntuhan akhlak dalam institusi kekeluargaan dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata, keprihatinan Kementerian Kewangan dalam hal ini amatlah diperlukan bagi memastikan amalan ini tidak akan berakar umbi kepada generasi akan datang.
Beliau memetik Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.
“Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan amalan itu)” (Surah al-Maidah : 90-91).
Oleh hal demikian, beliau berkata, Kementerian Kewangan turut ditekankan agar tidak menggunakan alasan atau justifikasi untuk menambahkan pendapatan negara melalui peningkatan kekerapan cabutan khas nombor ramalan ini.
“Biarpun realitinya, negara kita masih lagi bergelut keluar dari kegawatan ekonomi kerana pandemik Covid-19 namun negara kita secara fizikalnya masih lagi berkemampuan untuk mempelbagaikan inisiatif dan usaha untuk merancakkan ekonomi negara kita tanpa bergantung kepada sektor perjudian nombor ramalan ini semata-mata.
“Jangan dicemari usaha dan doa kita kepada Allah SWT agar dijauhi dari ujian Pandemik Covid-19 dengan membenarkan perkara mungkar ini,” katanya.
Dengan itu, Mohd Nor turut meminta tindakan segera diambil dengan menamatkan sektor perjudian nombor ramalan dalam Keluarga Malaysia ini. – Malaysiapost

